Translate..

Sabtu, 16 Julai 2011

APNEA

APNEA tidur akibat salur pernafasan terhalang (OSA) merupakan satu masalah nafas terhenti antara 10 hingga 60 saat setiap kali, sehingga 400 kali setiap malam. Penghidap OSA juga mungkin akan beberapa kali terjaga secara tidak sedar setiap malam akibat tidak dapat bernafas.
Mereka juga selalunya berada dalam keadaan separa sedar dan biasanya tidak mengingati peristiwa tersebut walaupun tidurnya terganggu berulang kali sepanjang malam. Bunyi dengkur penghidap OSA akan menjadi lebih kuat dan tiba-tiba akan terhenti untuk seketika akibat pernafasan telah terhenti (saluran pernafasan tertutup).
Halangan bekalan udara ke paru-paru ini akan menyebabkan kekurangan oksigen di dalam darah dan otak yang dikhuatiri akan membawa kepada banyak masalah kesihatan lain.
Tidur
Banyak kajian telah menunjukkan bahaya gangguan tidur sedangkan manusia memerlukan antara tujuh ke lapan jam tidur lena setiap hari. Dari kemalangan jalan raya, sehinggalah kepada bermacam penyakit lain telahpun dikaitkan dengan masalah tidak cukup tidur yang kronik (berlarutan).
Kekurangan masa dan kualiti tidur dikatakan menghakis keupayaan dan fungsi badan sehingga mendedahkan kita kepada penyakit jantung, diabetes dan bermacam penyakit lagi. Kualiti tidur juga kini semakin banyak menerima perhatian penyelidik kerana dikhuatiri menjejaskan hidup lebih banyak penduduk dunia berbanding kurang tidur (insomnia).
Penghidap OSA merupakan antara individu yang paling sukar mendapat tidur lena, bukan sekadar beberapa jam atau hari, tetapi berlarutan sehingga berbulan atau bertahun lamanya. Mereka yang menghidap OSA kebiasaannya berasa letih selepas bangun tidur, berasa sangat mengantuk serta kelihatan seperti mengalami masalah kemurungan.
Kekurangan oksigen, terutamanya ke otak bukan sahaja boleh membawa kepada masalah kesihatan malahan boleh membawa maut jika dibiarkan berterusan. Oleh itu, umum perlu memahami bahawa kitaran tidur, dengkur dan OSA ini amat berbahaya dan tidak sepatutnya dibiarkan begitu sahaja.
Kajian
Pakar Sains Neuro (saraf) Universiti Bandar New York, Dr. William Fishbein menjelaskan terdapat juga kaitan antara tempoh dan kualiti tidur dengan daya ingatan seseorang. Tahap 'tidur gelombang perlahan' iaitu tahap tidur yang nyenyak, sebelum seseorang mencapai tahap tidur bermimpi (tahap REM), dikatakan mungkin memainkan peranan penting dalam membantu kita menyelesaikan masalah.
"Mungkin otak manusia terus bekerja dalam tahap gelombang perlahan ini untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi dan menimbulkan idea-idea penyelesaian baru (yang tidak difikirkan sebelum tidur)," katanya.
Kajian yang dijalankan Dr. Fishbein mendapati sukarelawan yang hanya tidur pada tahap gelombang perlahan dan tidak bermimpi (tahap REM) secara automatik lebih cekap mengenali huruf-huruf tulisan Cina.
Kumpulan berkenaan dibiarkan tidur (tahap gelombang perlahan) selama 90 minit sahaja tetapi cuma 12 minit tidur pada tahap tersebut didakwa sudah cukup berkesan untuk meningkatkan daya ingatan.
Penyelidik dari Universiti California, Los Angeles pula mendapati gangguan tidur, sama ada akibat bunyi luar, kesan usia, dengkuran pasangan tidur mahupun OSA akan menjejaskan daya ingatan untuk berminggu-minggu lamanya.

PENGGUNAAN alat CPAP dikatakan kurang selesa kerana ia memaksa oksigen masuk ke dalam paru-paru.

"Gangguan tidur boleh menghalang pembentukan sel baru di dalam bahagian memori otak (hippocampus).
"Ini cukup untuk mengganggu keupayaan seseorang mempelajari sesuatu yang baru, sehingga beberapa minggu lamanya selepas kualiti tidur kembali normal," jelas Dr. Dennis McGinty dari universiti tersebut.
Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) juga menggambarkan tidak cukup atau kurang kualiti tidur sebagai satu masalah kesihatan umum yang kurang diperakui.
Tambahan pula, kajian awal Institut Kanser Kebangsaan AS sendiri menunjukkan peningkatan risiko kanser sebanyak 47 peratus bagi mereka yang mendapat kurang tujuh jam tidur setiap hari.
Bagi seseorang yang sudah membiasakan diri, mungkin tidur yang nyenyak selama empat jam setiap hari sudah mencukupi.
Namun, kebanyakan pakar bersetuju gangguan seperti OSA atau mana-mana tahap apnea tidur (gangguan aliran udara), gangguan luar (dengkur pasangan) dan kekangan masa tidur perlu ditangani segera bagi mengekalkan kualiti tidur.
Turut ditekan supaya mengelak amalan 'bulimia tidur' iaitu tidur lewat setiap malam, kemudian menghabiskan hujung minggu dengan tidur sepuas-puasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan